Sunday, January 31, 2010

Bukan stereo, bukan poli.

Dulu. Seingat gua, konsert terbaik gua pernah pergi, konsert Search Selepas Banjir. Kat Stadium tertutup MBJB. Time ni, gua masih di King of Parit. Belum berhijrah lagi. Time ni juga gua hilang akal sekejap. Lampu neon, Joe Wings, Hillary dan Amy buat gua orgasm.

Lepas tu, bila gua dah duduk area Lembah Klang, gua mula berjinak-jinak semula untuk ke gig. Gig yang buat gua orgasm ada satu dua. Ada gig emo fest ke apa, gua lupa nama gig tu. Showmanship tak ingat. Walau panas, basah peluh sana sini, tetap orgasm.

Lepas tu, ada satu gig kat Ampang. Pun sama. Gua lupa nama gig tu apa. Yang gua ingat, Paris In The Making buat gua tersentuh jiwa. Separa orgasm. Keluar Noisy rasa macam nak sambung menjerit sedih.

Tapi, malam tadi, antara yang terbaik. Lighting, A, sound system, A, showmanship AAAAAAAAAA. 10 A gua bagi.

Time Deepset main, gua dah mula tak keruan. Jiwa meronta-ronta. Lampu kejap hijau kejap biru kejap merah. Acad steady duduk tengah tengah stage, main sambil tunduk tunduk sikit. Gitaris kiri kanan pun sama.

Bila MONO start main, gua mula mula sibuk ambil gambar. Sikit sikit julang kamera, sikit sikit snap. Lama-lama, muzik Mono mula meresap. Perlahan lahan masuk ke dalam ruang paling dalam hati gua.

Emosi dari muzik MONO menyentuh jiwa gua. Sedih, gembira, kagum dan pilu bercampur baur.

Lantas, gua nekad, simpan kamera dalam beg, tarik beg kedepan, cap gua kasi senget sikit. Takut ter'patuk' orang depan.

Bila lampu masih warna biru, gua rileks lagi. Setakat goyang goyang hujung kaki ikut beat drum. Tapi, bila dah masuk lampu tukar warna macam macam, gitar dah start 'gentel', cymbal drum dah berkali kali diketuk dengan kuat, gerakan rumpai laut gua makin kuat.

Sambil pejam mata, sambil goyang badan sambil hayung kepala ikut MONO. Macam rumpai laut ikut arus air dalam laut. Kalau muzik perlahan, perlahan-lah gerakan rumpai laut gua, makin rancak muzik, makin kuat gerakan rumpai laut gua.

Klimaks lagu lagu MONO tak pernah mengecewakan gua untuk orgasm. Multiple orgasm. Sikit lagi gua nak terangkat ke udara kalau tak ada graviti.

Deepset

MONO.

EEERRGHH...masih multiple orgasm.

*kualiti gambar pula kurang memuaskan. Penat dah gua adjust!

Friday, January 29, 2010

Bendera Hitam

Isnin lepas. Gua dengan budak sales office gua bawa customer jalan-jalan. Customer gua ni memang kaki jalan-jalan. Tak reti duduk diam dalam hotel. Gua dengan budak sales ni boleh tahan merana.

Gua ada singgah satu kedai jual barang permainan. Toy shop. Bukan adult toy shop. Itu cerita lain. Dia punya banyak mainan, sampai ke tingkat 7!

Toy shop ini memang complete. Dari action figure, sampai ke patung besar bersaiz budak tingkatan satu. Dari kereta mainan remote control, sampai ke kereta api yang dia punya rail boleh sambung-sambung sampai dua tiga kilometer. Dari sekecil kecil button band rock sampai la ke T-shirt gila punya design. Complete.

Sampai di area T-Shirt, gua dah tak berhenti cakap 'perrghh!'. Selak satu baju, 'perrghh!'. Gua urut dada sekali. Tahan sabar. Selak satu baju lagi, 'perrghh!'. Gua urut dada sekali. Tahan sabar. Harga bukan main. Design memang lawa.

Sampai hujung hanger, gua dah tak boleh tahan. Lucifer dah cucuk pinggang gua sambil bisik perlahan-lahan.

Gua grab satu baju, pergi kaunter, buka dompet, keluar kad warna emas. Pejam mata. Lalu kat mesin pembaca chip. 'Trit trit keting' bunyi mesin duit.

Sampai Malaysia, gua gantung sebelah penyangkut baju gua. Rasa sayang nak pakai pun ada. Elak-elak gua frame juga baju ni kang!

Sebijik macam ini la T-Shirt yang gua rasa macam nak frame dan gantung depan katil dalam bilik gua.

Wednesday, January 27, 2010

Neon dan langit biru.

Ah, gua baru jumpa card reader kamera Sony member gua yang gua pinjam. Rupa rupanya terselit bawah timbunan kertas atas meja. Padan-lah gua tak bawak ke Jepun hari tu.

Tuesday, January 26, 2010

Mom, i am home!

I am home.

Esok gua cuti. Apa gila gua nak kerja. Jet lag tak habis lagi. Gua mula travel dari pukul 445 pagi waktu Malaysia sampai sekarnag gua belum tidur secara aman.

Gua dari dulu sampai sekarang. Memang tak reti nak tidur atas kerusi kenderaan awam. Biar aircond sejuk macam mana pun. Paling lama pun sejam.

Sekarang, dengan luggage terbuka, backpack entah mana, baju bersepah, mouse, charger telefon, charger notebook, buku, CD, segala bersepah atas lantai.

Gua, baring baring sambil bogel...err...maksud gua lilit tuala dari pinggang ke bawah sambil dengar lagu TOE sambil pejam pejam mata.

Relax jap.

Monday, January 25, 2010

Last day cold in the sun.

Malam ni last gua tidur bersuhukan 3 - 4 darjah celcius. Esok, awal pagi lagi gua dah nak kena naik bas. Dalam sejam lebih baru sampai Narita. Maka, esok malam juga kalau tak silap baru sampai KLIA.

Belum lagi gua gerak ke Malaysia, dah macam-macam benda gua dengar dari pejabat. Itu la, ini la. Complain sana, kondem sini. Bosan gua. Buat salah, tak buat pun salah.

Gua agak la, selagi nama Malaysia, mesti ada hanky panky dalam pejabat. Ada tak negara yang dalam pejabat free dari hanky-panky.

Itu baru kes kerja. Lain lain hal pun ada juga gua dengar dengar. Gua dah rasa lain macam pun ada.

Dan tadi, gua sempat bisikkan kata cinta paling dalam di bawah kangkangan Tokyo Tower walaupun gua tahu dia tak dengar.

Sunday, January 24, 2010

Ikut peta.

Gua tengah kemas bilik. Maksud gua, packing secara perlahan-lahan. Asingkan mana baju yang dah tak nak pakai lagi, mana baju yang masih nak pakai. Asingkan mana benda nak masuk beg besar, mana nak masuk beg kerja, mana nak masuk beg yang gua akan hand carry masuk kapal terbang lusa pagi.

Sambil-sambil tu, gua buka MP3 Mono. Mendayu-dayu musik dia orang. Sama dengan fikiran gua melayang-layang.

Bila part lagu ni. Tiba-tiba ada satu perasaan rindu datang dari segenap pelusuk jiwa. Membuai-buai, membelai-belai.



Ya, gua rindu Penari Kecil!

Settle.

Friday, January 22, 2010

Toe vs MONO.

Beberapa bulan lepas, gua ada baca satu flyers tentang MONO turun Malaysia sekali lagi. Hujung bulan ini. Gua gila teruja. Kali ini, biar badai datang melanda, gua akan tetap pergi.

Kelmarin. Tengah sedap gua hisap rokok di smoking area sambil usha usha secara minimal makwe makwe Jepun berskirt pendek balik kerja, gua dapat satu teks.

[Kalau ada jumpa baju Mono, lu belikan gua sekali. Hujung bulan dia turun KL.] - Tom.

[Gua tau. Tapi mono tak jumpa. Tapi CD Toe ada la.] - gua.

[Cara gak tu. Nanti kita print cover album baru Toe tu atas baju. Amacam?] - Tom

[Boleh juga.] - gua.

Lantas gua sambung usha makwe Jepun berskirt pendek balik kerja sambil tangan kiri dalam poket jaket belon tahan sejuk sambil senyum senyum sendiri sebab CD Toe dah dalam beg itu jam.

Sini versi original.

Thursday, January 21, 2010

Keliru

Memandangkan gua sekarang dah habis kerja secara rasmi, tapi ada balance beberapa hari sebelum pulang, walaupun kerja gua, bawak customer jalan jalan, tapi sempat juga gua luangkan masa ke kedai kasut. Drooling.

Sudahnya, gua keliru.

Yang ini,
Atau yang ini.


Belum cerita beg lagi.

Gua ingat, gua nak buat baik dengan Group Leader team gua kat sini-lah. Senang sikit riki riki gua kalau ada kerja kosong kat sini.

Wednesday, January 20, 2010

Facebook.

Gua dah mula rimas dengan Facebook gua.

Bila masa sepupu sepapat dah ada dalam friendlist gua, masalah keluarga pun nak bawak dalam alam maya. Real life sudah. Sudahnya, gua dari jauh ni dah fikir macam macam.

Jenis tak fikir panjang tuduh gua macam-macam. Come on. Get over it. Move on. Get a life then.

Padan la ada kes suami isteri sampai bercerai berai (gua buat buat percaya Harian Metro) main Facebook.

Elak elak gua delete juga Facebook akaun gua ni kang!

Tuesday, January 19, 2010

Gua benci menghibur pelanggan.

Gua kepenatan. Bejalan satu hari melayan customer memang gua tak gemar. Tapi lebih ke customer layan gua.

Mana tak-nya, asal nampak kedai T-shirt, gua nak masuk. Nampak kedai kasut, gua nak masuk. Nampak kedai G-Shock, nak masuk. Nampak kedai buku, gua nak masuk. Apa barang datang Jepun nak pergi tengok temple atau tempat tempat untuk sight seeing. Booring.

Kalau ikut gua, duduk hisap rokok tepi jalan sambil tangan dalam poket jaket zip sampai leher sambil tengok mamat mamat atau minah minah Jepun berfesyen lagi best.

Gua benci entertain customer!

Impian.

Dulu. Zaman gua kanak kanak. Gua punya fantasi boleh tahan juga banyaknya. Setakat nak pakai baju baju bergaya macam Suria Baja Hitam ke, Maskman ke, Captain Power and the Soldier of Planet ke, Silverhawk ke, itu semua biasa. Pengaruh kartun dalam TV banyak sangat.

Kadang kadang tu, ada juga gua nak jadi Macgyver. Gua jadi Macgyver, adik gua jadi musuh Macgyver, Murdoc yang muka dah terbakar separuh. Gua mesti nak jadi hero. Kalau nak elak benda-benda meletup, boleh terbang sambil tangan gua kat bahu makwe. Hero je boleh buat gini.

Pernah juga gua seronok tengok manusia pakai baju tebal tebal time salji dalam TV. Kena mood gua time hujan lebat, selamba gua pakai baju dua tiga lapis. Tak sampai beberapa minit, gua buka balik sambil hempas baju. Mana boleh tahan panas gaya macam ni. Sambil gua sumpah TV menipu.

Lepas gua habis SPM, pernah juga pakai jersey basketball kat luar, dalam pakai baju T-shirt ada nombor kat belakang. Baru Hardcore!

Masa gua study dulu, boleh tahan juga perangai pakai T-Shirt biasa belah dalam, luar pakai kemeja belang-belang halus. Rasa nak handsome.

Kadang kadang, bila gua lepak bundle bundle 'power' ada juga gua selak-selak majalah street fashion dari Jepun. Semua bergaya. Dari baju singlet sampai ke baju berlapis-lapis. Siap dengan hoodie dalam jaket jeans. Leher ada kain corak petak petak. Kasut, dari sneaker New Balance sampai la Nike Flight stail pakai lidah kasut terkeluar, kaki seluar masuk dalam kasut. Semua kena pada mata gua.

Jauh dalam hati gua menyimpan hasrat untuk berpakaian sedemikian satu hari nanti.

Petang ini, gua keluar HQ lepas habis kerja, suhu drop sampai 0 darjah celsius. Tanpa buang masa gua lari satu kedai, beli kain leher supaya haba badan gua tak keluar sambil buat tutup mulut dan hidung time jalan jalan keluar cari makan malam. Gila sejuk.

Dan hari ini, tuhan makbulkan niat gua nak pakai macam model street fashion dalam majalah bundle. Baju dua tiga lapis, jeans biasa slim fit kaki kecil, masuk dalam Nike high cut gua. Siap dengan kain leher warna cokelat. Siap dengan glove dengan snow cap.

Silap kulit gua tak putih dan mata kurang sepet. Kalau tak, orang tak dapat nak beza orang jawa Parit Raja atau mamat Hachioji.

Betul!

Menyesal gua pandang remeh pada sejuk.

Sunday, January 17, 2010

Di bumi Nippon sudah.

Perjalanan gua ke Jepun kali ini paling lama. Naik kapal terbang paling besar dalam dunia pun masih lambat. Harap ada 4 enjin je lebih. Masih lagi delay. Sepatutnya, gua terbang 1145 malam tadi, tapi, disebabkan oleh technical problem, delay sejam.

Sudahnya, gua mula terbang dari ruang angkasa Singapura jam 0045. Sampai ke Jepun pukul 8 pagi. Dengan muka sembab, perut memulas-mulas, gua buat muka paling ceria sambil ucap selamat pagi dengan nada paling gembira. Biar pegawai imigresen tu tak banyak soal gua. Berjaya!

Jejak kaki luar dari lapangan terbang antarabangsa Narita, mulut gua terus keluar asap secara langsung. Kali ini, suhu dia dalam 6 - 9 darjah celsius. Sinar matahari, sikit tak bagi effect. Nasib baik gua dah standby jaket belon siap-siap, tak la sejuk sangat gua.

Rupa-rupanya, gua baru perasan gua belum mandi sejak pukul 4 petang semalam. Padan la muka gua rasa tak fresh. Haram btoi!

Pandangan dari bilik hotel gua. Kejap lagi, gua nak usha CD Toe kat kedai bawah tu.

Friday, January 15, 2010

Kusut.

Kepala gua serabut. Macam-macam gua fikir. Serabut bagaikan benang dilanggar ayam bak kata Tony Wong. Hilang seri rambut Brad Pitt ai. Huh!

Tiba-tiba, banyak pula benda pending. Tiba-tiba, gua pula yang jadi trainer bila di HQ pejabat gua kat Jepun kang. Last minute baru tahu.

Mana gua nak sediakan semua syllabus? Kang tengah gua sedap revise apa yang patut, teringat pula kredit kad gua. Dua hari lepas gua minta tolong 'up' sikit kredit limit.

Tapi, nak dapat cakap ke customer care punya officer, dia punya susah macam nak mintak cop District Officer buat lulus biasiswa.

Sekarang ni, gua tengah usha-usha page Disneyland Tokyo pula. Customer gua minta nak tengok Mickey Mouse secara live. Tengok kat Disney Channel sudah. Sama je. Bukannya Mickey Mouse kat Disneyland Tokyo tu bermata sepet atau Minie Mousenye seseksi makwe Jepun pun.

Grrrr...!!!!

Thursday, January 14, 2010

Pengembaraan mencari Maria Ozawa dan Akira Toriyama - Bahagian II

Dulu. Misi ini tak berjaya. Kalau setakat hari ini, schedule masih berjalan lancar. Kiranya, Pengembaraan Mencari Maria Ozawa dan Akira Toriyama (PMMOAT) masih jadi. Jangan cancel last minit sudah.

Glove, scarf, jaket kembung atau jaket belon macam Wenger selalu pakai sekarang ni yang ada bulu bulu, snow cap, baju lengan panjang, hoodie, Red Wings Irish Setter, semua dah settle.

Kalau tak jadi, gua nekad buka meja depan pejabat gua jual barang-barang ini sebagai tanda protes!

Wednesday, January 13, 2010

Sepetang di Pulau Pinang.

Semalam. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, waktu, dah petang dah. Gua dah habis meeting sama customer. Gua tengah rileks-rileks tunggu kapal terbang dalam departure hall sambil goyang-goyang kaki sambil pejam mata. Gaya konon-konon tengah layan lagu.

Bila gua buka mata, dari jauh gua perasan satu amoi. Putih. Gebu. Pakai jeans Roxy. Baju pun gua yakin Roxy. Pakai flip flop. Bawak satu hand carry travel beg dengan satu backpack bersaiz biasa-biasa. Cap apa gua tak berapa perasan.

Rambut paras bahu. Tapi ada yang panjang sikit bahagian belakang. Rambut di sepit, tapi stail nak tak nak. Sekali pandang macam selekeh, dua kali pandang macam 'cara' juga. Nampak rileks-rileks. Mata tak sepet sangat. Ada bundar sikit.

Gaya macam masih student pun ada.

Gua sambung goyang kaki sambil pejam mata lepas tengok jam pukul berapa. Dalam hati menyumpah. Kapal terbang ada kipas masih belum sampai lagi.

Kali kedua gua buka mata, amoi berkulit halus dan comel sudah ada depan mata. Duduk di kerusi bertentangan dengan kerusi gua. Memang betul betul depan.

Mata, hidung ada merah-merah. Sesekali gua nampak ada sedu. Sambil tekan-tekan telefon LG dia, gua perasan dia cuba selindungkan sedu sedannya.

Gua memang kalah tengok perempuan menangis. Kesian je gua tengok. Simpati. Apa agaknya yang dah jadi?

Rasa macam nak gosok-gosok lengan amoi itu dan cakap,

"Stop crying. Everything should be ok."

Kali ketiga gua buka mata, gua dah dalam flight nak landing. Gua cari-cari amoi berkulit halus dan comel, tak jumpa. Entah mana dia duduk, gua tak tahu. Sudahnya, amoi entah kemana, gosok lengan entah kemana.

Haram betul!

Tuesday, January 12, 2010

Boleh tahan juga sifat pelupa gua ni.

Kadang kadang, bila gua banyak kerja, atau terlalu penat kerja, atau terlalu letih travel sana sini, sifat pelupa yang selalu jadi musuh gua akan menang dan gua kalah.

Boleh tahan juga kes kes gua lupa. Macam, lupa nak tanya anak sepupu gua dah keluar ke hospital ke belum, lupa nak keluarkan buku From Beirut to Jurusalem dari beg yang gua beli time Frinjan hari Sabtu lepas, lupa nak tanya khabar orang tua, lupa apa benda nak cakap, lupa nak potong kuku walaupun selalu masuk nasi time makan tengah hari, lupa tengok side mirror bila nak tukar lane, lupa senyum pada toll gate girl, lupa nak ambil rokok walaupun dah bayar, lupa yang gua ni dah ada makwe sebab selalu goda flight attendant. Macam macam.

Selalunya, gua akan terlupa bila masa ada sesuatu yang akan cross gua punya minda bila gua tengah plan sesuatu.

Weekend lepas, dek terlalu sedap bercerita dengan Mas Anton, pemandu teksi di Batam, gua terlupa untuk minta resit teksinya untuk gua claim awal bulan depan nanti. Padahal, gua dah ingat sebelum gua pakai stokinuntuk balik lagi.

Selalu jadi, gua akan lupa sama ada gua dah baca Al-Fatihah time sembahyang Jumaat atau belum dek keasyikan gua dengar imam baca surah.

Tadi petang, di Bayan Lepas, gua lupa ambil resit Petronas. Sudahnya, satu kerja lagi pusing round-about-yang-tak-boleh-pusing-360 darjah.

[,]

Dalam perjalanan pulang, bibir gua rasa pedih pedih. Dah lama juga benda ni berlaku. Gua tak puas hati. Lantas, gua singgah klinik Mega. Check apa yang patut. Doktor beritahu, nothing to be worried. Mungkin sebab cuaca panas di Bayan Lepas.

Selepas habis checking, gua masuk kereta, start enjin, balik. Lagi 500 meter nak sampai rumah, ada satu call masuk. Nombor tak dikenali.

"Ni encik Rembo kan?" suara makwe.

"Yup."

"Tadi ada datang klinik kan? Mana pergi ni?" makwe klinik Mega rasa pelik.

Paused.

"Oh God!" jawap gua sambil tepuk dahi dan bagi signal sebelah kiri.

"Hah, cepat datang balik. Nak tutup dah klinik ni."

"Ok. 10 minutes."

Perghh...rupanya gua lupa ambil ubat!!

Monday, January 11, 2010

Jek Blek.


Sekali pandang, macam Jack Black. Masa berlakon cerita Tenacious D in Pick of Destiny. Dua kali pandang macam vokalis band indie tu. Alaaa...yang tengah hot tu. Bukan Bunkface. Lain.

Ini antara malam malam terakhir rambut gua panjang. Lepas dinner ni, gua klik satu satu gambar time dinner, gua naik menyampah tengok rambut gua bersepah sepah macam baju tengah berselerak atas katil.

Sekarang. Gua dah macam Brad Pitt masa berlakon Ocean Twelve versi kembang 1 inci. Itu pun orang lain yang cakap.

Saturday, January 09, 2010

Superior tu takkan ke mana.

Malam tadi. Lebih kurang pukul 7.30 waktu Batam, 8.30 waktu Malaysia, tengah sedap sedap gua layan TV, lepas penat jalan seorang diri, kesana kemari, utara selatan Nagoya Hill gua jalan, sambil layan brownies, rasa nak menitik air mata bila tengok berita.

Ada tiga gereja kena bakar dalam negara gua.

Nak tersembur brownies ber salut keju gua. Terkejut!

Yang 'report' kat gua pun orang negara lain. Orang Singapura, berita dari Singapura. Dalam kejauhan gua rasa sedih. Sedih dengan sikap orang bodoh dan juga orang rasa hebat. Sikap superior yang melampau.

Come on.

Nak pertahankan agama bukan itu caranya. Kita tak pernah diajar untuk bersikap zalim dengan agama lain.

Sekarang ini, gua pasti ada dua golongan. Golongan yang menentang pembakaran gereja dan juga golongan yang dalam hati secara senyap menyokong pembakaran gereja. Mesti. Mesti ada punya.

Gua tak nak cerita pasal golongan yang menentang.

Golongan yang menyokong, kalau lu baca ini entri, gua bagi lu satu ayat.

Bukankah Allah itu juga yang meniupkan roh ke dalam jasad orang yang berlainan agama dengan kita? Kan? Tak kisah la agama Hindu ke, Buddha ke, Kristian ke, tak ada agama ke, orang yang sembah matahari ke, bulan ke. Kenapa mesti merusuh tak tentu pasal?

Sedih gua ramai sangat orang tak guna akal sekarang ni. Gua nak tulis bodoh besar besar kang ada mulut yang kata gua ni macam pandai sangat.

Haih.

Thursday, January 07, 2010

Perangai.

Malam tadi gua tak boleh tidur. Golek ke kiri salah, golek ke kanan salah. Tenung kipas salah, tenung tingkap lagi rasa lain macam.

Semua gua buat macam tak kena. Nak kata tak packing lagi, dah settle dah.

Baju berkolar, jeans, underwear, stokin, peralatan tandas, minyak wangi, novel Pisau Cukur...errr...maksud gua pisau cukur, majalah Montain Bike UK, T-shirt, spare part mesin, baju kerat lengan dengan seluar futsal untuk buat tidur, pelembab bibir, pencuci muka Garnier, shampoo Cristiano Ronaldo, pisau MacGyver, PC, passport, handphone punya charger, rokok Dunhill Light kotak besar 2 kotak. Complete.

Tapi, mata tak juga boleh lelap.

Bila ingat-ingat balik, gua memang perangai susah nak tidur kalau excited nak naik kapal terbang. Tambahan, duduk sebelah enjin.

Perrghhh...ngeri!

Wednesday, January 06, 2010

Surat pilihan minggu ini.

Salam doktor,

Tahun 2010 ini, umur saya dah masuk 28 tahun. Kalau kira tahun, kira bulan, lambat lagi nak sampai 28 tahun. Tapi, selalunya, orang keliru. Ramai yang cakap saya ini macam budak umur 24 tahun. Tak apa, saya ok je.

Saya ini pun bukan besar mana pun. Kecil comel. Tinggi, memang tak tinggi mana. Kalau beli MTB pun saiz S atau 14.5 inci atau 15 inci. Baru ngam. Perangai pun stail tak fikir masa depan sangat. Memang ngam dengan budak perangai umur 24 tahun.

Mengikut teori sains dalam kepala saya, se-umur begini, mesti pertumbuhan saya dah tak tumbuh-tumbuh lagi dah. Production untuk tinggi dah stop. Tapi production untuk mengembang still going on. Betul tak doktor?

Seingat saya doktor, cikgu Biologi saya dulu cakap, selagi gigi bongsu belum keluar empat empat, maknanya pertumbuhan masih belum berhenti. Masih boleh tinggi lagi. Kira masih ada harapan untuk jadi tinggi macam Dave Grohl. Tapi, masalahnya, sekarang ini doktor, saya lupa sama ada gigi bongsu saya dah habis tumbuh ke belum.

Beberapa tahun lepas, saya pasrah. Saya anggap pertumbuhan gua dah stop. Manjang nak ukur tinggi dekat shopping kompleks, rasa malu la pula, doktor. Dah bekerjaya ni, mana ada program timbang berat badan dengan ukur tinggi setiap bulan macam time sekolah rendah dulu.

Sekarang ini, saya tengah duk fikir, makin hari, apahal jeans yang gua pakai buat kerja ini semakin singkat?

Tolong beri sedikit penjelasan doktor.

Ingin kepastian,
Pemuda Keliru BP

Tuesday, January 05, 2010

Projek pertama tahun 2010.

Seperti yang gua jangkakan. Permulaan 2010 bermula dengan 'BANG' untuk sebelah kerjaya gua. Bukan Bangbus mahupun 'Gangbang'. Gambang, Pahang lagi-lah, jauh sekali.

'BANG' yang gua maksudkan adalah...err...macam...err...sesuatu yang meletup. Tak-lah lemau macam biasa-biasa.

Tadi, gua terima satu email dari bos kecil gua. Satu prosedur untuk proses modifikasi mesin gua yang terletak di Batam. Memang gua tunggu-tunggu prosedur ini. Selagi tak ada prosedur ini, maka gua tak boleh buat kerja.

Apa gila gua nak buka mesin secara hentam keromo. Mau jadi macam tikus baiki labu kang bak kata orang dulu dulu.

Gua tengok tajuk email lain macam. Tulisan dia bukan stail biasa-biasa. Sekejap ada rupa cacing, sekejap ada hufuf 'f' terbalik. Sekejap ada tanda pembuka kata, sekejap ada tanda yang selalu budak-budak guna dalam SMS untuk mata sepet (^), sekejap ada huruf 'e' pepet-lah, ada huruf 'u' dengan dua titik kat atas-lah. Sekali pandang macam huruf 'tha' pun ada.

Gua dah budget. Ini mesti kes skrip atau tulisan bukan tulisan biasa-biasa. Mesti tulisan Katakana. Tak pun Hiragana. Kalau tak, takkan PC gua tak boleh nak detect tajuk email tu.

Mula-mula gua senyum. Maklumlah, prosedur ini memang gua nanti-nantikan. Kiranya, prosedur ini macam tiket untuk gua ke luar negara a.k.a Batam. Boleh juga gua cuba taktik claim tiket kapal terbang untuk jadi kaya sekali lagi nanti. Untung-untung, kalau berjaya, boleh dapat Wheeler sebijik.

Tapi, bila gua buka attachment, senyum gua dah bertukar masam. Secara majisnya, gula yang manis gua dah bertukar menjadi cuka yang masam.

Apa hal prosedur ini dalam tulisan Katakana? Cari gaduh ke apa ni?

Nasib baik ada Lebai Google tolong translate.

Sekarang gua tengah sibuk booking flight dengan hotel sambil merancang masa perjalanan gua serta masa untuk gua buat kerja. Sambil sambil tu terasa risau juga tentang makwe makwe Batam yang suka tarik baju sambil merengek ajak masuk pub.

GULP!!

Sunday, January 03, 2010

Benda baru pertama tahun 2010.

Gua sampai sampai rumah LEP, ada satu kotak pipih segi empat sama warna hitam atas speaker set home theater gua. Kotak pipih segi empat sama ada cap P warna hijau, 1 warna putih.

Biasanya, gua balik dari kampung ni rasa manjang nak mengamuk. Maklumlah, ramai sangat orang yang gua sayang gua tinggalkan kat kampung. Tambahan, memandu seorang diri selama beberapa jam membuatkan gua rasa macam orang bisu. Kang kalau gua bergayut dari Johor sampai ke LEP ni kang, macam tak patut pula.

Sekarang, relax-relax gua taip entri atas sofa skinny warna cokelat sambil pakai tuala sambil mengangkang. Selesa jaya!

Awwww!